KUANTAN – Seorang guru wanita berusia 36 tahun berputih mata apabila mengalami kerugian RM190,000 wang simpanannya akibat diperdaya sindiket penipuan menerusi telefon di Bentong, Pahang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa telah diperdaya oleh suspek yang menyamar sebagai petugas kurier dan polis bagi memperdayakan mangsa pada Ogos lalu.
“Pada 9 Ogos lalu mangsa menerima panggilan telefon dari saspek yang menyamar sebagai pihak J&T dan pihak polis yang mendakwa mangsa terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram.
“Mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM20,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh saspek bagi tujuan penyelesaian kes,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah Yahaya, suspek juga meminta mangsa memberikan gambar kad ATM dan nombor TAC.
Katanya, wanita itu mula mengesyaki ditipu setelah dapati wang berjumlah RM170,000 dari akaun miliknya dipindahkan ke akaun lain. – Malaysiagazette