KUALA LUMPUR – Gerakan Himpunan Pulangkan Najib akan mengumpul tanda tangan petisyen membebaskan Datuk Seri Najib Razak untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi proses pengampunan.
Penyelaras Gerakan Pulangkan Najib, Wan Muhammad Zuhir Ghazali, 25, berkata, tujuan utama mereka berkumpul di hadapan pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta untuk menunjukkan solidariti kepada bekas perdana menteri itu yang sedang menjalani hukuman penjara secara tidak adil.
“Kami berkumpul di sini bukan nak protes atau bantah dan itu bukan hajat kami, keutamaan kami hanya mahu menunjukkan solidariti bahawa kami masih bersama Datuk Seri Najib.
“Kesediaan kami serta kerinduan kami yang mana kami hari ni menuntut pengajian di universiti awam disebabkan Najib dan jasanya kepada mahasiswa di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita pagi tadi di hadapan kompleks mahkamah.
Tambah penuntut tahun akhir jurusan Pengajian Islam dari Universiti Malaya itu, sekitar lebih 30 mahasiswa dari pelbagai universiti awam antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) berhimpun menunjukkan sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Mereka dilihat memegang plakat berslogan ‘Kami rindu Najib”, ‘Bebaskan Najib’, ‘Rakyat Dapat Apa penjarakan Najib’, dan sebagainya sebagai tanda solidariti kepada pemimpin itu sehinggalah kenderaan dari Penjara Kajang yang membawa bekas Pengerusi BN itu memasuki pekarangan kompleks Mahkamah pada jam 8.30 pagi tadi.
Kebanyakan daripadanya berkumpul seawal 7 pagi lagi untuk menyertai himpunan tersebut sementara sekumpulan polis dan anggota rela turut terlibat dalam tugas kawalan keselamatan di hadapan premis mahkamah mengelak sebarang kemungkinan dan memudahkan urusan orang awam.
Justeru katanya, mahasiswa pada hari ini telah merasakan tekanan hidup disebabkan dasar-dasar yang tidak dilaksanakan oleh ‘Bossku’ di bawah kepimpinannya demi manfaat mahasiswa.
Menurutnya, mereka akan mendapatkan tandatangan petisyen Gerakkan Pulangkan Najib daripada warga kota di ibu negara bermula hari ini.
“Kami akan gerak dalam kumpulan kecil di sekitar ibu negara untuk mengumpul tanda tangan orang awam dan juga pemuda pemudi.
“Kita juga akan bergerak ke seluruh negara untuk tujuan mengumpul tanda tangan yang mana setakat ini kita sudah gerak di Perak dan Johor manakala di Kelantan kita akan mulakan esok.
“Sebenarnya kami sudah memulakan usaha mengumpul tandatangan dua minggu lepas dan berjaya mengumpul sekitar 50,000 tandatangan sokong pembebasan Najib kerana beliau dibicarakan dan dijatuhkan hukuman secara tidak adil,” katanya lagi.
Tegasnya, kesemua tandatangan rakyat yang dikumpul itu akan diserahkan dalam bentuk petisyen gerakan bebaskan Najib dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pengampunan kepada bekas pemimpin itu.
“Kami sangat optimis dapat mengumpul tanda tangan dan berharap orang ramai sokong usaha kami menurunkan tandatangan dalam petisyen supaya kami boleh persembahkan kepada Baginda untuk proses pengampunan kepada Najib nanti,” ujar beliau. -MalaysiaGazette