Chang Lih Kang

MELAKA – Malaysia akan ketinggalan untuk mencapai negara berteknologi tinggi menjelang 2030 sekiranya dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) masih kekal satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, kementerian berharap Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen esok akan membawa khabar gembira.

“Pada bajet dulu kita dapat RM1.1 bilion dan kita harap ada pertambahan kalau boleh dapat tambahan 10 peratus pun cukup bagus.

“Bajet itu pula bukan untuk kegunaan kementerian semata-mata tapi juga  untuk penganjuran progam seperti ini untuk menarik minat anak-anak muda terhadap Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Lih Kang menyantuni pelajar sekolah selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan.

Mengulas lanjut Lih Kang berkata, kementerian juga berharap peratusan untuk dana R&D dapat ditambah kerana jumlah sedia ada belum memuaskan berbanding negara lain yang agak tinggi antara tiga hingga empat peratus daripada KDNK.

“Tapi kita setakat ini satu peratus dan sekiranya pelaburan dalam R&D ini tak cukup besar, masa depan (kita) akan suffer (ketinggalan).

“Sebagai contoh, Korea Selatan menyaksikan dana R&D mereka lebih empat peratus daripada KDNK sebab itu sekarang mereka dapat menikmati hasil daripada pencapaian R&D itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast