Hamdan Husin

KUANTAN – Insentif pengecualian denda lewat bagi bayaran cukai tanah bayaran denda lewat yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang akan berakhir 16 Oktober ini.

Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Datuk Hamdan Husin berkata, insentif itu telah dilaksanakan sepanjang Karnival Tanah diadakan di semua 11 daerah sejak 22 Julai lalu dan mendapat sambutan baik.

“Tempoh promosi insentif ini akan berakhir pada 16 Oktober 2023 iaitu berbaki empat hari lagi.

“Justeru, semua pemilik tanah yang masih belum menjelaskan cukai tanah diseru untuk merebut peluang terakhir ini dengan membuat pembayaran secara fizikal di kaunter hasil PTG Pahang,” katanya dalam sidang media di sini.

Bayaran boleh dibuat mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di seluruh Negeri Pahang, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan.

Bagi pembayaran cukai tanah secara atas talian (online) boleh dibuat melalui laman web Pejabat PTG Pahang menggunakan gateweay FPX dan aplikasi PahangGo.

Tambah Hamdan, pemohon yang ingin memohon lesen baharu atau memperbaharui lesen perniagaan perlu untuk menjelaskan tunggakan cukai tanah terlebih dahulu dengan melampirkan bersama-sama resit cukai tanah tahun semasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan permohonan tersebut dipertimbangkan untuk kelulusan.

Sementara itu katanya, PTG Pahang juga sedang bekerjasama dengan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam usaha untuk menyebarluaskan kepentingan membayar cukai.

Mesej peringatan “Sila Jelaskan Cukai Tanah Anda Sebelum 31 Mei Setiap Tahun” pada ruangan makluman bil air itu akan diterima pada setiap isi rumah bagi meningkatkan tahap kesedaran pemilik bil untuk menjelaskan cukai tanah sebelum tamat tempoh waktu.

Untuk rekod sehingga 8 Oktober 2023, jumlah kutipan Hasil Tanah Negeri Pahang ialah RM657 juta bersamaan 97.32% berbanding sasaran hasil tanah yang telah ditetapkan pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM675 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast