Belanjawan 2024
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran RM1,000 turut diberikan kepada semua pegawai Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) melibatkan semua perkhidmatan termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, insentif itu diberikan sementara menunggu Kajian SSPA dilengkapkan.

“Bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

“Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, bagi memastikan nasib penjawat awam terbela, kerajaan bersetuju supaya liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000 selaras dengan pindaan Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi sektor swasta.

Katanya, kenaikan had siling gaji itu membolehkan kadar bayaran faedah di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja meningkat sehingga 50 peratus atau sekitar RM1.6 juta.

“Dengan kata lain, penjawat awam atau waris akan menikmati tuntutan pampasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan semasa bertugas,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, kerajaan bersetuju memperluas Kemudahan Bantuan Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi untuk meliputi pakaian batik Malaysia bagi semua penjawat awam yang layak.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyarankan majikan swasta turut mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja dengan mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa.

Menurut beliau, kerajaan akan mula mempergiatkan sesi libat urus tahun depan.

“Saya menyeru pihak swasta untuk memberi ganjaran terutamanya syarikat yang mempunyai keuntungan yang munasabah,” jelasnya. – MalaysiaGazette