KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan akan melakukan kajian bagi menambah baik perkara-perkara yang perlu susulan daripada Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Ini kerana, tidak ada sesiapa pun yang bersifat sempurna dan kekurangan serta kelemahan yang wujud boleh diperbaiki.
“Pastinya ada kajian yang kita akan lakukan dan penambahbaikan, pasti boleh dilakukan.
“Kita bukannya bersifat maksum dan ertinya tentu ada beberapa kekurangan dan kelemahan yang kita perlu perbaiki.
“Insya-Allah dari semasa ke semasa sebagaimana yang disebutka oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tadi, tidak semua kementerian dapat dipuaskan hati.
“…tapi, saya yakin pendekatan yang baharu akan dilakukan bila kajian dibuat di pertengahan tahun pada belanjawan ini,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini.
Turut serta pada sidang media itu, Timbalan Perdana Menteri II yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ahmad Zahid sebelum itu ditanya wartawan mengenai pandangannya berhubung pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia di Dewan Rakyat petang tadi.
Ia merupakan belanjawan kedua dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Pembentangan belanjawan menyaksikan kerajaan mengumumkan langkah-langkah pembaharuan fiskal, mengukuhkan pengurusan dan mempelbagaikan sumber hasil di samping mengurangkan ketirisan serta mengoptimumkan perbelanjaan.
Belanjawan 2024 itu juga turut menyaksikan penyepaduan dasar-dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI. – MalaysiaGazette