KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang didapati memuat naik hantaran dikatakan menghasut dan menghina institusi diraja dalam media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sambil mengesahkan perkara itu berkata, pasukannya membuat tangkapan ke atas kedua-dua individu itu di dua lokasi berasingan berasingan.
Ia untuk membantu siasatan berhubung hantaran yang berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja.
“Tangkapan pertama disyaki pemilik/pengendali akaun Facebook ‘Muhammad Farhan’ berumur 32 tahun ditangkap pada 12 Oktober 2023 di kawasan Gombak.
“Manakala tangkapan kedua dipercayai pemilik/pengendali akaun Tiktok @Azwanar90 berumur 33 tahun ditangkap pada hari ini di kawasan Balik Pulau, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Shuhaily, tangkapan pertama telah dipohon reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan dibenarkan direman selama tiga hari bermula bermula hari ini hingga 15 Oktober ini.
Justeru katanya, tangkapan kedua pula dibenarkan direman selama empat hari mulai 13 hingga 16 Oktober ini untuk siasatan lanjut.
Kes berkenaan sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian. – MalaysiaGazette