Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar ibrahim hadir pada Pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR- Hasil kerajaan Persekutuan pada 2024 dijangka mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 1.5 peratus kepada RM307.6 bilion.

Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan melaporkan, ia sejajar dengan prospek ekonomi yang lebih baik.

Katanya, hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama iaitu 79.2 peratus daripada jumlah hasil atau 12.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Manakala hasil bukan cukai mewakili 20.8 peratus atau 3.2 peratus daripada KDNK.

Kutipan hasil akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh berserta langkah yang diambil untuk meningkatkan lagi mobilisasi hasil melalui peluasan asas cukai serta menambah baik pematuhan dan ketelusan cukai.

Selain itu, beberapa langkah akan dilaksanakan antaranya Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat dan e-invois.

Kutipan daripada cukai langsung pada 2024 dianggar naik sebanyak 6.9 peratus kepada RM185 bilion atau 75.9 peratus daripada jumlah hasil cukai.

Sebahagian besarnya disumbang oleh kutipan cukai pendapatan korporat (CITA) sebanyak RM106.4 bilion dan cukai pendapatan individu berjumlah RM42.5 bilion.

Kenaikan CITA terutamanya disumbangkan oleh prospek pendapatan syarikat yang lebih baik.

Sementara itu, cukai pendapatan individu dijangka meningkat sebanyak 6.9 peratus seiring dengan prospek kadar pengangguran dan pertumbuhan upah tahunan yang lebih baik.

Kutipan PITA dijangka berjumlah RM21.7 bilion berikutan purata harga minyak mentah yang stabil pada paras AS$85 setong.

Kutipan cukai tidak langsung pula dijangka meningkat 4.7 peratus kepada RM58.6 bilion terutamanya disumbangkan kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka berjumlah RM35.8 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK.

Ia sejajar dengan dengan penggunaan yang lebih tinggi serta keyakinan terhadap sentiment pengguna dan perniagaan.

Kutipan duit eksais diunjur meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM13.6 bilion berikutan peningkatan rokok import, pengenalan duti ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin bagi rokok elektronik atau vape, serta peluasan skop cukai minuman bergula dan prospek stabil industri automotif.

Hasil bukan cukai dijangka berkurang sebanyak 13.8 peratus kepada RM64 bilion atau 3.2 peratus daripada KDNK disebabkan hasil yang lebih rendah daripada pendapatan pelaburan.

Dividen tahunan daripada Petronas dijangka lebih rendah berjumlah RM32 bilion manakala Bank Negara Malaysia menyumbang jumlah lebih tinggi sebanyak RM3 bilion.- MalaysiaGazette