KUALA LUMPUR – Konflik kekejaman rejim zionis Israel kepada rakyat Palestin yang berlarutan sejak 75 tahun lalu hanya boleh ditamatkan dengan memberikan kemerdekaan sepenuhnya kepada rakyat di negara berkenaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh berkata, tindakan rejim zionis yang semakin hari semakin melampaui batasan dengan menekan dan membunuh ribuan penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak dikecam.
Beliau juga kesal walaupun hampir setiap tahun himpunan dan gerakan membantah dan mengecam pencabulan kemanusiaan oleh tentera Israel namun ia tetap berterusan.
“Sudah hampir 75 tahun Tanah Gaza dicabul, diserang dan dibedil dengan senjata dan bom rejim zionis sehingga memusnahkan kediaman dan harta benda serta nyawa rakyat tidak berdosa.
“Kita pun setiap tahun berhimpun dan mengemukakan kecaman serta bantahan yang tegas ke atas kekejaman zionis dan mendesak negara-negara dunia mengutuk keras tetapi kita lagi malu kerana ia tetap berterusan tanpa kesudahan,” katanya semasa berucap dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara anjuran Dewan Pemuda Pas selaku urusetia di sini hari ini.
Himpunan itu berjaya menyaksikan ribuan rakyat Malaysia berbilang kaum termasuk para pemimpin kerajaan dan pembangkang bersatu hati berkumpul dan meluahkan bantahan keras terhadap kekejaman Israel dan menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin yang sedang dibedil dengan bom.
Dalam ucapan sama, Dr Akmal juga mengutuk sekeras-keras tindakan Israel yang mengisytiharkan sekatan segala bekalan makanan, elektrik, perubatan dan segala keperluan asas kepada rakyat Palestin semalam.
“Ada yang tanya saya, kita setiap tahun berhimpun bersatu hati mengutuk sekeras kerasnya kekejaman zionis dan menekan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak selain meraih kerjasama negara-negara lain tetapi tiada solusi tetap dicapai sehingga kini.
Dalam pada itu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu yang turut hadir menyatakan solidaritnya berkata, sikap rejim zionis pasti bakal dilenyapkan tidak lama lagi.
Katanya, kebangkitan dan serangan mengejut dengan peluru berpandu oleh Hamas ke atas Israel bukti jelas rejim zionis sudah cuak dan tiba masa sikap kekejaman dan anti kaum Israel perlu ditamatkan segera dan rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka.
“Saya kesal PBB yang sepatutnya campur tangan dan bertindak dalam hal ini sebaliknya hanya berdiam diri dan bersikap buta.
“Jalan keluar sekarang hanya satu iaitu menghancurkan Israel serta tumbangkan kuasa-kuasa besar yang memberi dan menyalurkan bantuan kepada zionis Israel,” tegasnya.-MalaysiaGazette