Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan menyemak semula perbelanjaan awam bagi meningkatkan kecekapan dan keberhasilan perbelanjaan perbelanjaan terutamanya subsidi, emolumen, kesihatan, pendidikan serta perkhidmatan dan bekalan.

Kementerian Kewangan dalam Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 berkata, lima komponen itu mencakupi sebahagian besar daripada perbelanjaan mengurus.

“Justeru, penting bagi memastikan keseimbangan antara mengoptimumkan perbelanjaan dengan meningkatkan hasil dalam meneruskan agenda pembangunan negara di samping mencapai kemampanan fiskal jangka panjang,” kata laporan itu.

Dalam masa sama, kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan fiskal untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dengan meluaskan asas hasil, mengoptimumkan pengurusan perbelanjaan, mengurangkan pendedahan risiko dan menambah baik urus fiskal.

Kerajaan menurutnya, akan melaksanakan kajian semula sistem percukaian yang komprehensif meliputi dasar dan pentadbiran cukai serta rangka kerja perundangan.

Inisiatif itu akan memastikan janaan hasil yang mampan serta menyediakan ruang fiskal yang mencukupi untuk pelaksaan program dan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Kementerian Kewangan melaporkan, defisit fiskal pada tahun ini juga bertambah baik sebanyak RM46.8 bilion bagi lapan bulan pertama 2023 berbanding RM51.9 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Katanya, prestasi positif itu disumbang oleh kutipan hasil yang lebih baik dan pengurusan perbelanjaan berhemat.- MalaysiaGazette