Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menjadi penerima peruntukan paling banyak untuk tahun depan iaitu sebanyak RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion pada 2023.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain itu sebanyak RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Ini merangkumi RM930 juta bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

“Sebanyak RM1 bilion pula adalah untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah tamil dan cina termasuk sekolah pendidikan khas dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu Anwar merangkap Menteri Kewangan memaklumkan 26 buah sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion.

Antaranya SMK Laya-laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang; SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak dan SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

Tambah beliau, kerajaan juga bersetuju untuk meluaskan kriteria
pendapatan ibu bapa untuk memohon Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

“Peluasan syarat ini akan memberi peluang kepada tambahan 35 ribu lagi anak bangsa daripada keluarga kurang mampu untuk mendapat BKP,” tambahnya.

Selain itu Anwar berkata, RM150 juta diperuntukkan untuk bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid.

Ujarnya, tahun depan murid Tingkatan 3 boleh memohon bantuan berkenaan berbanding Tingkatan 1 sebelum ini.-MalaysiaGazette