KUALA LUMPUR – Lebih 3,000 ahli Pergerakan Pemuda UMNO dari seluruh negara berkumpul dalam ‘Himpunan Solidariti Bersama Gaza’ diperkarangan Masjid Negara di sini hari ini.
Menurut Ketuanya, Dr Akmal Salleh, solidariti yang turut disertai kepimpinan kerajaan dan pembangkang itu bukan isu berkaitan politik sebaliknya ia berkaitan hak kebebasan buat rakyat Palestin.
“Ini soal hak kebebasan untuk rakyat Palestin, kita tidak akan berkompromi (rejim Israel) sudah menyakiti rakyat Palestin bermakna menyakiti kita semua. Jadi sudah cukuplah 75 tahun mereka ditindas dan tidak diberi hak untuk duduk di tanah mereka.
“Kita menggesa dunia untuk buka mata, jangan pekakkan telinga. Kalau Israel boleh menyekat makanan, sekat elektrik, sekat pelbagai lagi (keperluan) untuk rakyat Palestin, maka kita perlu sekat Israel juga daripada apa sekali pun.
“Saya menyeru kepada semua kepimpinan negara Islam seluruh dunia,buat betul-betul. Kita sekat jualan minyak kita kepada mana-mana negara yang menyokong Israel. Kali ini cukup, ini masanya kebangkitan rakyat Palestin untuk bersama kita dengan seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas memberi ucapan dan membakar bendera Israel dalam ‘Himpunan Solidariti Bersama Gaza’ bersama Pemuda Perpaduan di sini selepas usai solat Jumaat.
Antara pemimpin yang turut hadir dalam himpunan adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, Menteri Pertanian dan Kerjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan juga Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli serta Ketua Dewan Pemuda Pas.
Semalam, media melaporkan Qatar memberi amaran akan menggantung aktiviti eksport gas ke seluruh dunia sekiranya serangan ke atas Gaza tidak dihentikan.
Turut senada negara Liga Arab yang menyaksikan semua menteri mereka berbincang tentang perang Israel-Palestin dan menggesa Israel untuk menarik balik arahan kepungan di Gaza.
Terdahulu, menteri-menteri luar Arab mengecam kepungan yang dilaksanakan Israel ke atas Gaza dan menggesa bantuan kepada orang awam seperti makanan, air dan minyak untuk dibawa masuk dengan segera.
Mereka dalam pada itu turut menggesa Israel untuk mempertimbangkan tindakannya yang tidak adil apabila menghentikan bekalan elektrik dan air ke Gaza. – MalaysiaGazette