KUALA LUMPUR – Semua negara-negara Islam diseru supaya mengenakan sekatan penuh ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap perkara sama yang diumumkan zionis itu ke atas Gaza.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Israel telah mengumumkan sekatan penuh termasuk menyekat akses makanan, air, bahan api dan elektrik ke Tebing Barat.
Tindakan zionis itu jelas merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, sama dengan jenayah perang dan hukuman kolektif.
“Pengisytiharan perang Netanyahu dan menjadikan Gaza sebagai kawasan kemusnahan adalah ikrar jenayah untuk memusnahkan Gaza.
“Kepungan selama 17 tahun ke atas Gaza memberi kesan buruk terhadap kehidupan seharian penduduk Gaza.
“Malangnya, negara-negara Islam telah melakukan sedikit sahaja untuk menekan Israel supaya menarik balik sekatan,” katanya menerusi kenyataan.
Mohd Azmi berkata, selain daripada memberi bantuan kemanusiaan dan itu pun hanya dibenarkan dengan persetujuan Israel dan Mesir, keadaan di Gaza telah menjadi kawasan yang tidak boleh didiami.
Ujarnya, dengan tindakan balas tentera besar-besaran oleh Hamas di bawah operasi banjir Al Aqsa untuk menamatkan pendudukan, Gaza kini menghadapi hukuman oleh Israel pada tahap bencana manusia.
“Kami juga menyeru negara-negara Islam untuk menentang sekatan dan mendesak Mesir untuk bekerjasama bagi membolehkan bantuan melalui Rafah.
“Negara-negara anggota OIC harus menangani isu Palestin, bukan sahaja dengan kata-kata tetapi juga dengan tindakan. Ia mesti diterjemahkan kepada kesan yang kuat untuk mengasingkan dan menekan Israel secara maksimum.
“Israel boleh ditundukkan dari segi politik dan ekonomi jika negara-negara Islam bersatu dan tamatkan isu pendudukan Palestin,” tegasnya.
Dalam pada itu, MAPIM turut menyeru agar semua hubungan diplomatik dengan Israel diputuskan dan bergabung tenaga dengan masyarakat sivil Amerika Syarikat (AS) yang menghina pendanaan keganasan Israel terhadap Palestin.
Turut perlu dilakukan katanya, menamatkan perdagangan langsung dan tidak langsung dengan Israel selain, mengeluarkan kenyataan global untuk memboikot Israel, dengan diperakui oleh negara-negara OIC.
“Tekan Mesir supaya menjauhi Israel dan berusaha ke arah membuka sempadan antara Mesir dan Gaza.
“Negara-negara OIC perlu failkan Israel dalam ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) dan ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa) untuk menjalani proses undang-undang antarabangsa sewajarnya dan perlu didakwa atas jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan pencabulan hak asasi manusia antarabangsa,” tambahnya. – MalaysiaGazette