Tun Mahathir selepas menghadiri Himpunan Solidariti bersama Gaza di Masjid Negara petang tadi

KUALA LUMPUR – Pemimpin politik kerajaan dan pembangkang hari ini mengenepikan perbezaan dan bekongsi pentas bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara di sini hari ini.

Himpunan bermula kira-kira 2 petang sejurus selepas solat Jumaat itu dihadiri ribuan penyokong termasuklah badan bukan kerajaan (NGO).

Antara pemimpin yang hadir dan memberi ucapan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, Israel telah merampas tanah Palestin kira-kira selama 70 tahun lamanya.

“Mereka (rejim Israel) bukan sahaja merampas tapi mendera, membunuh dan menahan rakyat Palestin tanpa bicara.

“Apabila Israel lakukan keganasan, tiada seorang menegur dan itulah kezalimannya. Kita perlu tindakan pertahan umat Islam di Palestin,” katanya semasa berucap di hadapan penyokong solidariti Palestin di sini hari ini.

Tambah Dr Mahathir, selepas tidak dapat menahan tekanan dan penindasan kejam rejim Israel akhirnya Hamas terpaksa bangkit bertindak baru-baru ini dengan serangan balas dan kini terpaksa berdepan masalah sehingga bekalan elektrik, air, makanan dan perubatan disekat sepenuhnya oleh Israel.

Oleh demikian, katanya, rakyat Malaysia yang hidup selamat dan aman di negara ini perlu memberi kerjasama membantu Palestin.

“Saya kagum dan usah lupa bahawa tuhan akan makbulkan doa solat kita untuk membantu Palestin. Kita bantu derma wang dan ubat supaya rakyat di sana dapat diberi rawatan sepatutnya.

“Saya juga doakan penyatuan kita di sini akan menghasilkan kebaikan bagi umat Islam khususnya rakyat Palestin di tanah Gaza,” jelasnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pihaknya menyokong penuh apa yang dilakukan Hamas bagi menentang kezaliman terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Ujarnya, apa yang dilihat berlaku adalah tanah Palestin dirampas, ratusan ribu nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban selain harta benda termasuklah masjid, sekolah dan hospital dimusnahkan.

“Himpunan hari ini menyatakan pendirian jelas kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira parti mana kerana kita bersatu hati.

“Kita tahu apa yang sedang dihadapi rakyat di Palestin dan paling tenat sekarang ini kerana ramai terkepung di Gaza,” katanya.

Muhyiddin turut menyatakan sokongan padu dari semua rakan seperjuangan untuk terus sebagai satu tindakan yang berkesan.

“Kita menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan, infaq dan apa sahaja pertolongan untuk ringankan bebas mereka, rakyat Palestin. Kita doa kepada Allah dan semoga kemerdekaan milik Palestin,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast