Tan Sri Anifah Aman
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Penduduk Sabah terutamanya Labuan sedang menantikan penyelesaian masalah air  berikutan pengumuman peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan belanjawannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan untuk pembaikan paip air dan infrastruktur berkaitan di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka dapat menyelesaikan masalah bekalan asas itu di kawasan mereka.

Ini adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM1.1 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Labuan, Sabah dan Kelantan.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ahli Dewan Negara mewakili Labuan, Tan Sri Anifah Aman menzahirkan rasa penghargaan kepada Perdana Menteri yang prihatin dengan isu melibatkan penduduk Labuan terutamanya isu air.

“Ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri begitu prihatin dan komited terhadap penduduk Labuan dan mahu menyelesaikan masalah mereka.

“Saya juga ingin merafak sembah terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Mustain Billah atas perhatian baginda terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk Labuan dan Sabah.

“Baginda mengambil masa untuk melawat Sabah dan Sarawak dan mendengar suara rakyat. Bahkan Seri Paduka membaca semua surat yang diberikan kepadanya dan berkongsi rintihan rakyat kepada Perdana Menteri agar suara rakyat didengar oleh kerajaan,” ujarnya.

Anifah juga sentiasa komited dalam membawa pelbagai isu yang dihadapi oleh penduduk Labuan kepada perhatian Kerajaan Persekutuan terutama berkaitan permasalahan air membelenggu rakyat.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membawa apa-apa perkara yang berkaitan dengan Labuan kepada kerajaan dan saya gembira Kerajaan Perpaduan mengambil perkara ini dengan serius, pastinya ini juga khabar gembira buat mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anifah juga menghargai usaha kerajaan untuk menyokong pembangunan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) sebagai hab kewangan Islam yang patuh syariah sepenuhnya.

Perdana Menteri mengumumkan pengecualian cukai sepenuhnya akan diberikan selama lima tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti kewangan atau perdagangan yang berkaitan dengan kewangan Islam.

Anifah berkata, insentif itu pasti akan meningkatkan potensi Labuan untuk menarik pelabur teknologi kewangan (fintech) yang pakar dalam kewangan Islam.

“Pengecualian cukai selama lima tahun adalah insentif yang baik untuk menarik pelabur ke Labuan untuk menjalankan aktiviti kewangan atau perdagangan yang berkaitan dengan kewangan Islam.

“Apabila pelabur sektor ini masuk ke Labuan, ekonomi akan berkembang, mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan taraf ekonomi,” ujarnya.

Bercakap mengenai Sabah pula, Anifah yang juga Penasihat Khas Hubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri berkata, peruntukan RM6.6 bilion untuk pembangunan amatlah dialu-alukan.

Jelasnya, penurunan kuasa pengawalseliaan bekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Dengan pemberian kuasa untuk mengawalselia elektrik, saya berharap Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan dapat menyelesaikan masalah bekalan elektrik di Sabah dan Labuan. Juga terima kasih untuk peruntukan RM7.4 bilion untuk Fasa 2 Jalan Hubungan Sabah Sarawak (SSLR),” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast