KUALA LUMPUR – Sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk inisiatif Payung Rahmah pada tahun depan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia akan digunakan untuk memperkasakan pelaksanaan inisiatif yang dicetuskan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.
“Payung Rahmah ialah manifestasi keprihatinan kerajaan dalam
membela nasib rakyat. Perjuangan menangani beban sara hidup yang dicetus Almarhum Salahuddin tidak akan terhenti dan akan terus diperkasa. Ia termasuklah untuk jualan Rahmah dan sebagainya,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Anwar berkata, Program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah akan diperluas ke lebih banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selain itu, Anwar memaklumkan kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan Program Pasar Rahmah.
Sebagai rekod, Program Pasar Rahmah menawarkan insentif kepada 1.2 juta pengusaha pasar borong, pasar malam dan pasar tani mengurangkan kos perniagaan selain menurunkan harga jualan- MalaysiaGazette