Persembahan dari tentera udara pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM38.7 bilion menerusi Belanjawan 2024 bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk tujuan tersebut, sebanyak RM19.7 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan RM19 bilion.

Menurut beliau, kerajaan akan memulakan proses perolehan aset-aset baharu tahun depan termasuk 12 helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Selain itu, perolehan aset-aset utama Tentera Darat seperti 60 kereta perisai infantri, 50 kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV), enam hoverkraf pemintas laju serta 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, peruntukan turut disalurkan untuk kerja-kerja memasang pulih dua aset kapal selam selain meneruskan perolehan tiga kapal misi pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau berkata, perolehan juga dilaksanakan untuk menggantikan aset lama dengan tujuh pesawat kapal terbang dua enjin dan lima helikopter ringan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berhubung keselamatan sempadan dan perairan negara, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menambah aset-aset perairan antaranya perolehan 45 unit bot pelbagai jenis Tentera Darat serta sembilan kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Kerajaan juga akan membina tujuh pos imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak, pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning, Pulau Sebatik, Sabah serta kerja awalan pembinaan dua ICQS di Nabawan dan Kalabakan, Sabah.

“Kerajaan akan wujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA). RM20 juta ringgit turut disediakan untuk menyelenggara, membaiki serta memperoleh harta modal di pintu-pintu masuk antarabangsa seluruh negara,” jelasnya.

Beliau menambah, RM400 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta RM20 juta disediakan untuk menaik taraf sistem pembetungan kem tentera darat secara berfasa.

Katanya, lerajaan akan terus menggiatkan inisiatif PROTEGE-RTW yang merupakan penempatan latihan pekerjaan dengan kerjasama syarikat penerima kontrak kerajaan dan meluaskan skop kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah kontrak yang dimeterai oleh Kementerian Pertahanan.

“Bagi melindungi kebajikan dan pembangunan sosioekonomi anggota veteran, setiap program kerajaan akan mempunyai kuota khusus untuk veteran seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan,” katanya. – MalaysiaGazette