KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu digesa supaya menarik balik cadangan untuk menjenamakan semula sebuah kawasan Kampung Cina kepada China Town sebagaimana diumumkan baru-baru ini.
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Shahrulufti Sharif berkata, beliau amat terkejut dan kecewa apabila mendengar rancangan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berhubung perkara itu.
Menurutnya, ini adalah satu langkah yang tidak sensitif dan tidak menghormati warisan dan identiti penduduk tempatan yang telah lama menetap di kawasan tersebut.
“Anda (Razali) seolah-olah ingin menghapuskan sejarah dan budaya Tanah Melayu.
“Anda perlu memahami bahawa perubahan nama kawasan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat secara sewenang-wenang tanpa mengambil kira pendapat dan perasaan mereka yang terlibat.
“Anda juga perlu mempertimbangkan kesan perubahan nama kawasan terhadap imej dan tarikan pelancongan negara kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahrulufti berkata, berharap Exco berkenaan akan bertindak secara bijaksana dan bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal negerinya.
Jelasnya, tidak perlu untuk mengorbankan warisan dan perpaduan masyarakat Melayu demi kepentingan politik atau ekonomi mereka sendiri.
Ujar beliau, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, tetapi ia juga menghormati dan mengiktiraf kepelbagaian bahasa dan budaya yang ada di Malaysia.
“Janganlah anda melupakan nilai-nilai ini yang telah menjadi asas pembinaan negara kita.
“Bahasa Melayu mengeratkan perpaduan masyarakat…ia memupuk semangat patriotik, menyemai perpaduan antara kaum, mempelajari kesilapan masa dahulu, menghargai budaya dan warisan negara serta memelihara kedaulatan negara dan memahami landskap politik negara,” ujarnya.
Menurut laporan pada Selasa lalu, Razali memaklumkan, cadangan itu bukan sahaja mengubah wajah lokasi berkenaan malah, memberi limpahan manfaat kepada penduduk tempatan khususnya penggiat industri pelancongan.
Pada masa ini kata beliau, sesi libat urus antara kerajaan negeri dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti berkenaan sedang berjalan untuk merealisasikan hasrat tersebut. – MalaysiaGazette