Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Belanjawan 2024 disifatkan bajet yang cukup dinamik dan meletakkan Malaysia ke hadapan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai insentif diberikan kepada mereka yang berperanan menjulang pembangunan negara.

“Ini akan menyokong negara untuk lebih cemerlang antaranya pemberian bantuan rahmah kepada penjawat awam sama ada yang kekal berpencen atau kontrak yang telah diselaraskan.

“Pastinya pendekatan baharu dalam membina Malaysia selepas pandemik Covid-19 ini akan membuahkan kejayaan,” katanya.

Ab Rauf (tengah) melihat gelagat peserta pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat memperuntukkan sebanyak RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan kerajaan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Kutipan hasil kerajaan 2024 pula dijangka menyaksikan peningkatan daripada RM303.2 bilion tahun ini kepada RM307.6 bilion.

Defisit fiskal 2024 diunjur berkurang kepada 4.3 peratus ketimbang sasaran 5 peratus tahun ini dan 5.6 peratus tahun 2022. – MalaysiaGazette