Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menghadkan yuran pendaftaran masuk ke universiti awam tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024 akan memberi peluang lebih luas kepada pelajar tidak berkemampuan untuk memulakan pengajian.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menyambut baik hasrat kerajaan menangguhkan bayaran yuran pengajian golongan ini dan tidak menyekat mereka yang belum mampu membayar yuran bagi meneruskan pengajian atau mengambil peperiksaan.

“Semoga dengan langkah ini, pelajar-pelajar susah yang tidak berhasrat menyambung pengajian kerana ingin menyara keluarga dan mereka yang susah dari pendalaman akan mendapat semangat baru,” katanya.

Menurutnya, UPM tidak mempunyai masalah menyambut hasrat kerajaan untuk memperkasakan kebajikan pelajar universiti kerana Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM telah melaksanakan langkah kebajikan tersebut untuk pelajar kurang berkemampuan selama ini.

“UPM melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar juga turut memberi pelbagai bantuan kepada golongan pelajar susah, asnaf, dan B40 yang layak melalui Tabung Kebajikan Pelajar Wakaf, Zakat, dan Endowmen untuk meringankan beban mereka,” kata beliau.

Ahmad Farhan berkata, UPM turut aktif mengumpul dan menyalurkan sumbangan dan derma daripada pihak luar atau penaja kepada golongan B40 yang layak.

“UPM juga terlibat dengan bantuan Program Dermasiswa Sulong yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membiayai pendidikan generasi pertama dalam keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke universiti.

“Kita setuju peraturan pembayaran oleh universiti harus mengambil kira kebajikan pelajar seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat,” ujarnya.

Menyentuh bajet RM1 juta kerajaan kepada setiap universiti awam untuk Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU, Ahmad Farhan berkata, langkah ini juga akan meningkatkan jumlah pelajar OKU masuk ke universiti.

“UPM telah menyediakan kerangka kukuh dalam menyokong komuniti OKU seperti Garis Panduan Pelaksanaan Kampus Inklusif OKU, Dasar Inklusif OKU 2020, Jawatankuasa Kampus Inklusif OKU, Audit MyU OKU, Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU, buddies yang sentiasa mengambil berat pelajar OKU, elaun khas OKU, masa tambahan bagi pembelajaran, menyokong erat Persatuan Mahasiswa OKU untuk pemerkasaan mahasiswa OKU.

“Selain itu, UPM sentiasa menaik taraf kemudahan OKU di fasiliti utama universiti, van OKU, mesin embosser di perpustakaan, bangunan mesra OKU dan bilik OKU,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast