Foto: FB Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Tindakan pembaikan sementara telah dilaksanakan di susur masuk ke arah Lebuhraya MEX dan pusat membeli belah MyTown di Bulatan Kampung Pandan, Cheras dan Kilometer (km) 8.2 arah Kepong di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semalam, susulan insiden kemalangan yang berlaku di kedua-dua lokasi itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, siasatan di jejambat Bulatan Kampung Pandan mendapati kemalangan berkemungkinan berpunca daripada penunggang motosikal tergelincir di atas longitudinal bridge joint di laluan itu.

Beliau berkata, longitudinal bridge joint itu dibina untuk projek perlebaran jalan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ia berada di luar limit of maintenance responsibilities (LMR) pihak MEX.

“Saya mendapati pihak DBKL telah melaksanakan pembaikan sementara dengan menutup lubang pada Longitudinal Bridge Joint menggunakan simen,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, selepas meninjau dua lokasi berkenaan pagi tadi.

“Setelah perbincangan diadakan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya (LLM) dan MEX, saya mengarahkan perbincangan lebih lanjut dengan DBKL diadakan secepat mungkin bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan untuk menyelesaikan isu longitudinal bridge joint ini,” tambahnya.

Khamis lepas, tular di media sosial klip video yang memaparkan beberapa kemalangan melibatkan penunggang motosikal yang berlaku secara berturut-turut dalam tempoh singkat ketika hujan lebat di laluan jejambat susur masuk ke arah Lebuhraya MEX dan pusat membeli belah MyTown di Bulatan Kampung Pandan, Cheras yang dipercayai akibat kerosakan struktur jalan.

Sementara itu bagi lokasi kedua di MRR2, Nanta berkata, kerosakan berpunca pada expansion joint jejambat yang menyebabkan ia berlubang, dan terdapat juga kerosakan pada struktur jambatan seperti deck slab dan bearing pad dikesan melalui pemeriksaan di tapak oleh pemaju dan JKR Daerah Gombak.

Katanya, tindakan segera iaitu pembaikan sementara potholes patching telah dilakukan petang semalam dan JKR Gombak juga mengarahkan pemaju untuk membuat tampalan kekal.

“Pemaju memaklumkan akan melaksanakan kerja pembaikan tampalan kekal dalam tempoh segera selepas mendapat pengesahan dari pihak ‘pembekal pakar’.

“Bagi jangka masa panjang, perlu penggantian expansion joint dan pembaikan kerosakan struktur jambatan pada deck slab…JKR Selangor akan menyediakan anggaran kos pembaikan dan akan mengemukakan permohonan dalam tempoh seminggu untuk kelulusan peruntukan pembaikan laluan itu,” katanya.

Nanta menegaskan, masalah lubang jalan atau sebarang gangguan kelancaran jalan raya tidak boleh dipandang ringan atau remeh kerana melibatkan nyawa dan keselamatan manusia, selain perlu mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini. – Bernama