KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh warga asing ditahan polis susulan kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah taska di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berusia lewat 40-an itu ditahan selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 3 petang semalam.
“Suspek yang bersuamikan warga tempatan itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas hadir memberi keterangan.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
“Pada masa ini pihak polis masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasatan yang dijalankan terhadap bayi berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Mohamad Fakhrudin, setakat ini polis telah merakam keterangan tiga individu termasuk ibu bapa mangsa malah akan memanggil pemilik taska untuk semakan sama pusat asuhan itu mempunyai lesen atau tidak.
Difahamkan, kejadian berlaku pada hari kedua mangsa Qaseh Aulia Faizul, berusia dua bulan, dihantar ke sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara.
Bapa mangsa Faizul Ali Adam berkata, dia menerima panggilan daripada pihak taska memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri dengan muka pucat kebiruan sebelum dibawa ke sebuah hospital di sana.
Sebaik tiba di hospital berkenaan, Faizal dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia dan jenazahnya dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat.
Faizal kemudian membuat laporan polis selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu dan mendapati ada unsur kecuaian pengasuh dipercayai warga asing di premis berkenaan ketika menjaga anaknya yang dalam keadaan berbedung. – MalaysiaGazette