sebuah rumah separuh batu yang berkunci ditinggalkan tuan rumah musnah bersama sebuah kereta dalam kebakaran yang berlaku petang tadi di Kuala Selangor. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Separuh rumah terbakar dalam kebakaran di Jalan Lintang, Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bilik gerakan operasi bomba menerima panggilan awam mengenai insiden itu pada jam 6.16 petang.

“Bertindak atas maklumat terbabit, sebuah jentera pemadam dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, dibantu jentera dan anggota dari BBP Tanjung Karang dan BBP Bestari Jaya bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan segera.

sebuah rumah separuh batu yang berkunci ditinggalkan tuan rumah musnah bersama sebuah kereta dalam kebakaran yang berlaku petang tadi di Kuala Selangor. Ihsan Bomba Selangor

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kampung di ladang kelapa sawit yang terbakar 90 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Mukhlis, sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di tepi rumah berkenaan turut musnah terbakar.

Tambah beliau, hasil soal siasat awal terhadap saksi, kebakaran bermula dari bahagian dapur rumah berkenaan dan marak dengan pantas sebelum disedari jiran yang kemudian menghubungi bomba.

“Semakan mendapati tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu dan tuan rumah dipercayai tiada lokasi semasa kejadian serta difahamkan sudah balik kampung.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam lebih kurang 6.28 petang tadi dan kebakaran dipadam sepenuhnya dalam masa 30 minit,” ujarnya. – MalaysiaGazette