KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyifatkan enam inisiatif dalam Belanjawan 2024 untuk dilaksanakan agensi itu, mencerminkan tekad kerajaan bagi memangkin pertumbuhan pekerjaan baharu, sekali gus merungkai kelompangan jaringan perlindungan sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata inisiatif Bina Kerjaya Perkeso, Sokongan Pekerjaan, integrasi kumpulan sasaran dalam sektor awam dan pengecualian cukai untuk pengambilan pekerja wanita, berupaya merancakkan lagi pasaran buruh negara.
Beliau berkata perkara itu selari dengan hala tuju digariskan kerajaan, yang menyasarkan untuk mewujudkan 1.34 juta peluang pekerjaan, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Penekanan kepada inisiatif peningkatan kemahiran dapat membantu pekerja sedia ada dalam sektor tidak formal dan formal melengkapkan diri dalam menceburi peluang pekerjaan baharu. Rangkaian peluang kerjaya baharu ini dijangka wujud sejajar peralihan ekonomi ke digitalisasi, tenaga boleh diperbaharui serta pekerjaaan hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohammed Azman berkata berdasarkan semakan terhadap portal MYFutureJobs, jumlah pencari kerja wanita bagi tempoh Januari hingga 6 Okt lalu, ialah seramai 198,751 orang yang merangkumi pencari kerja wanita yang ingin beralih kepada pekerjaan baharu dan mereka yang sedang menganggur.
“Berbekalkan inisiatif Belanjawan 2024 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia akan dapat meningkatkan lagi pembabitan wanita dalam pasaran buruh, selari dengan sasaran 60 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita, seperti direncana dalam Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.
Menyentuh komponen memperkasa jaringan perlindungan sosial, Mohammed Azman berkata penekanan kerajaan ketika ini terarah kepada sektor ekonomi penjagaan dan individu bekerja sendiri, khususnya bagi penggiat industri gig.
“Saya berharap agar semua penyedia platform gig menyambut baik dan memberi perhatian kepada saranan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia, dalam meningkatkan perlindungan keselamatan sosial dengan mengambil insiatif menanggung baki 10 peratus caruman bagi penggiat gig, demi kebajikan mereka,” katanya.
Selain itu, Mohammed Azman berkata langkah kerajaan untuk meningkatkan siling gaji diinsuranskan ke paras RM6,000 berbanding RM5,000 adalah bertepatan kerana akan menambah faedah tunai sebanyak 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka sekali gus melindungi kebajikan rakyat.
Mohammed Azman dalam kenyataan sama berkata lebih ramai golongan suri rumah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan miskin tegar dapat dilindungi melalui peningkatan 150 peratus peruntukan untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kepada RM50 juta.
“Berdasarkan pangkalan data e-Kasih setakat Ogos 2023, kita mempunyai lebih 500,000 suri rumah yang menepati kelayakan Geran Caruman SKSSR, dengan 166,666 sudah didaftarkan ke skim ini,” katanya.
Bagi penggiat industri gig pula, Mohammed Azman berkata keputusan menaikkan geran padanan caruman kepada 90 peratus berbanding 80 peratus sebelum ini, bakal meningkatan pendapatan boleh guna kira-kira 477,281 individu yang berkhidmat di industri dikenali sebagai ekonomi lejang itu.
Pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI Jumaat lalu, menyaksikan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM200 juta kepada Perkeso, bagi menerajui pelaksanaan inisiatif merangkumi kepentingan memperkasa jaringan perlindungan sosial dan merancakkan pasaran buruh negara.- BERNAMA