Gambar hiasan

IPOH – ‘Malang tidak berbau’, dua pekerja ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah gerai burger di Taman Becham Raya, dekat sini pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian melibatkan dua mangsa itu pada jam 1.15 pagi tadi.

Katanya hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang berusia 30 dan 14 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi gerai burger tersebut.

“Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa merupakan pekerja gerai dan mereka dipercaya terkena renjatan elektrik semasa bekerja di gerai burger tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya lagi, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke HRPB untuk menjadi proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. -MalaysiaGazette