Gambar hiasan

IPOH- Polis menahan seorang duda dan ibu bapanya bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dua bulan yang disyaki didera di Bagan Serai, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bagan Serai Supt Juna Yusoff berkata lelaki berusia 26 tahun itu dipercayai telah mengambil mangsa dari rumahnya untuk dijaga sejak Selasa lepas, sebelum kanak-kanak tersebut ditemukan tidak sedarkan diri oleh kedua ibu bapa lelaki itu.

“Pada kira-kira 6 petang kelmarin, suami isteri warga emas berusia berusia 62 dan 57 tahun itu mendapati mangsa yang dijaga oleh anak mereka, tidak sedarkan diri dengan terdapat kecederaan pada mangsa dan membuat keputusan menghantar kanak-kanak itu ke klinik Bagan Serai.

“Bagaimanapun, mangsa didapati telah meninggal dunia dengan kesan kecederaan dan melecur pada badan,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Juna berkata hasil bedah siasat didapati mangsa meninggal dunia kerana pendarahan di kepala akibat hentakan objek tumpul selain kecederaan di seluruh badan, kesan melecur akibat objek panas dan kesan kecederaan pada lubang dubur mangsa.

Menurutnya ketiga-tiga suspek kini disiasat di bawah Seksyen 302 kerana membunuh dan direman hingga esok.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ambri Mat Nayan di talian 01113092525 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kerian di talian 05 -7212222

 

— BERNAMA