KUALA LUMPUR – Seorang pemandu bas persiaran maut manakala tiga lagi penumpang cedera selepas kenderaan itu terbabit kemalangan di Jalan Meru, Klang, awal pagi ini.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Zaidi Mohamad, bas berkenaan hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan menyebabkan pemandunya tercampak keluar.

Jelas beliau, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.24 pagi sebelum menggerakkan anggota dari BBP Sungai Pinang ke lokasi kejadian.

“Difahamkan, bas berkenaan membawa empat penumpang dan seorang pembantu pemandu dalam perjalanan dari KL Central ke Klang Central.

“Pemandu bas berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian dan tiga yang lain mengalami kecederaan manakala dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast