KUALA LUMPUR – Negara tidak memerlukan sebarang akta khusus bagi menangani isu diskriminasi di tempat kerja berkaitan dengan Orang Kelainan Upaya, kata V. Sivakumar.
Menteri Sumber Manusia berkata, setakat ini negara tidak memerlukan undang-undang baharu malah Akta Pekerja 1955 sudah memadai untuk menangani apa-apa isu berkaitan pekerja.
“Kita tidak memerlukan apa-apa undang-undang yang khusus bagi menangani isu diskriminasi berkaitan ketidakupayaan fizikal mahupun mental.
“Kita tidak perlu satu undang-undang baharu dan selain daripada itu, kita ada Akta Perhubungan Perusahaan 1967 untuk melihat jika ada sebarang diskriminasi dan kita juga ada kesatuan pekerja dan laporan juga boleh dibuat kepada kesatuan pekerja,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sivakumar berkata demikian menjawab pertanyaan lanjut di Dewan Rakyat oleh Wiliam Leong Jee Keen (PH-Selayang) hari ini.
Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, langkah itu tidak difikirkan wajar kerana menerusi rekod Jabatan Tenaga Kerja (JTK) hanya lapan kes direkodkan oleh jabatan itu mengenai kes diskriminasi keatas pekerja kurang upaya.
“Daripada statistik sedia ada dari Jabatan Tenaga Kerja setakat ini hanya terdapat lapan kes yang telah diadukan. Daripada lapan kes tersebut, dua aduan diskriminasi berhubung bayaran tunai dan enam lagi berkaitan selain bayaran tunai.
“Itu sahaja yang ada dalam rekod JTK. Jadi jumlah ini tidak besar tapi saya tak nafikan mungkin juga kes-kes yang tidak dilaporan dan disiasat oleh JTKSM. Jadi dalam lapan kes ini, kesemuanya telah disiasat dan telah diambil tindakan maka kita boleh anggap bahawa kes ini telah selesai.
“Dengan undang-undang sedia ada memang ia adalah memadai untuk memastikan supaya diskriminasi seperti ini boleh dielakkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette