Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika hadir di Parlimen.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM393.8 bilion dan ia merupakan peruntukan tertinggi setakat ini, namun malangnya hanya RM90 bilion sahaja diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, apabila dilihat dengan lebih teliti, peratus peruntukan pembangunan bagi Belanjawan 2024 adalah sebanyak 23 peratus dan ia adalah hampir sama dengan peratus perbelanjaan pembangunan bagi Belanjawan 2023.

Tambah beliau, melalui Belanjawan 2024, Kerajaan Madani dilihat lebih bersungguh mahu mengejar kadar defisit fiskal yang lebih rendah berbanding menyediakan satu belanjawan yang membantu rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Apa guna berbangga dengan penurunan kadar defisit fiskal, penurunan kadar inflasi dan penurunan kadar pengangguran tetapi realiti sebenar yang dialami oleh rakyat di bawah sana adalah amat berbeza sekali.

“Strategi pengurusan defisit fiskal dalam belanjawan ini pastinya mempunyai hubung kait dengan pengurusan hutang serta liabiliti yang ditanggung kerajaan.

“Ini pastinya mendorong kerajaan untuk mengurangkan peruntukkan bagi pemberian subsidi dan perbelanjaan pembangunan.

“Persoalannya, apakah pendekatan ini merupakan sesuatu yang baik kepada sebuah negara kecil yang sedang membangun dan juga mahu keluar daripada perangkap negara berpendapatan menengah (middle ncome trap).

“Apakah strategi ini boleh menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara?” katanya ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Bajet 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Hamzah menambah, Belanjawan 2024 seharusnya dirangka dengan mengambil kira strategi pengurusan hutang yang bertanggungjawab bukannya hanya ghairah mengejar angka makro-ekonomi defisit fiskal semata-mata.

Tegas beliau, adalah penting untuk mewujudkan perasaan feel-good dalam kalangan rakyat bahawa mereka mempunyai wang yang cukup untuk dibelanjakan dan ini boleh meningkatkan pasaran domestik dan merancakkan ekonomi negara.
.
“Jangan kita lupa akan kisah sebuah keluarga yang terpaksa tinggal dalam kereta akibat kesempitan hidup. Adalah amat menyedihkan membayangkan bagaimana perasaan mereka apabila didendang secara berlebihan naratif bahawa subsidi yang sepatutnya mereka nikmati terpaksa dicatur demi untuk menurunkan angka defisit fiskal negara.

“Pengurusan fiskal yang bijaksana mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, memastikan rakyat dapat menikmatilimpahan kek ekonomi dengan lebih adil, melalui pengurusansubsidi danbantuan kerajaan yang lebih efisien,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast