GAZA CITY – Perang di Semenanjung Gaza yang memasuki hari ke-10 menyaksikan regim Israel meneruskan serangan ke atas wilayah Palestin tersebut.
Menurut Shebab News, regim Zinonis menyasarkan jalan-jalan dan persimpangan di timur Gaza, Shuja’iya dan kawasan antara Shuja’iya dan Al-Zaytoun.
Seorang dilaporkan syahid dan beberapa cedera termasuk kanak-kanak akibat pengeboman pesawat rejim Zionis di kawasan kejiranan Qaizan al-Najjar di Khan Yunis.
Menurut Radio Suara Al Aqsa, angka kematian akibat serangan udara rejim Zionis yang menghentam sebuah perumahan di selatan Gaza telah meningkat kepada enam dengan lapan kecederaan.
Laporan itu menyebut bahawa bangunan kediaman yang dimiliki oleh sejumlah keluarga yang besar terletak di kawasan Qaizan Al Najjar di Khan Younis.
Rejim Israel turut melancarkan operasi penahanan di Tebing Barat dan menahan wartawan, Mustafa al-Khawaja dari Ramallah serta tahanan yang dibebaskan, Abdul Hadi Abu Khalaf dari al-Khalil.
Sementara itu Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan Hospital Juruselam turut menjadi sasaran serangan roket regim Israel setiap lima minit selama tiga jam sepanjang malam tadi.
Israel turut menyasarkan serangan ke atas petugas Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestine yang melakukan misi mencari dan menyelamat hingga terdapat anggota yang terbunuh.
Setakat ini lebih 2,000 penduduk Palestine terkorban termasuk bayi dan kanak-kanan dengan hampir 10,000 cedera. – Agensi