Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil kesempatan daripada pemulihan sektor pelancongan global dan kejatuhan nilai ringgit bagi meningkatkan industri pelancongan negara.

Ketua Pembangkang Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan tidak sepatutnya menunggu sehingga tahun 2026 untuk melonjak industri tersebut dan perlu dipercepatkan.

“Apabila Tahun Melawat Malaysia ditetapkan pada tahun 2026 (seperti diumum dalam Belanjawan 2024) kerajaan tidak boleh semata-mata menunggu sehingga tahun 2026 untuk melonjak industri pelancongan.

“Sebaliknya kerajaan perlu mengambil peluang daripada trend pemulihan sektor pelancongan di seluruh dunia dan juga kejatuhan nilai ringgit untuk melonjakkan industri pelancongan ke tahap yang jauh lebih tinggi.

“Oleh itu PN mencadangkan agar perbelanjaan berkaitan dengan Tahun Melawat Malaysia kini dipercepatkan bagi meningkatkan promosi, memperkasa infrastruktur dan prasarana,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Terdahulu, dalam ucapan Belanjawan 2024, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tahun Melawat Malaysia telah ditetapkan semula pada tahun 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.

Menurut Anwar, kerajaan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

Sementara itu, Hamzah yang Ahli Parlimen Larut berkata, kerajaan memberi fokus kepada segmen pelancongan bernilai tinggi selain daripada meningkatkan kehadiran pelancong.

“Sebagai contoh pelancongan kapal mewah di Langkawi, pelancongan alam semulajadi seperti di Danum Valley di Sabah dan Taman Negara Gua Niah di Sarawak.

“Peluang ini tidak boleh dipersiakan dan beberapa penambahbaikan termasuk aspek visa harus dilihat semula agar Malaysia mampu melonjakkan industri pelancongan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette