KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) sekali lagi merakamkan sokongan serta dukungan sepenuh jiwa terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut erti sebuah kebebasan dan nikmat kemerdekaan.
Ketua Pembangkang mewakili PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana setelah sekian lama rakyat negara itu dizalimi, dianiaya serta ditindas rejim haram apartheid Israel.
Tegas beliau, konflik terbaharu yang tercetus ketika ini kerana akarnya berpunca daripada zionis.
“Siri pengeboman ke atas Gaza sejak dua minggu lalu meragut lebih 2,329 nyawa manakala lebih 9,000 lagi cedera.
“Ini adalah perbuatan genocide (pembunuhan beramai-ramai) ke atas rakyat Palestin yang wajib ke atas kita untuk menentangnya dengan sekuat-kuat iman dan atas nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Bajet 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Hamzah menambah, dalam konteks sebuah negara, siapa jua yang dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin wajib melakukan perancangan dan persiapan.
Ujarnya, ini kerana agar rakyat serta negara yang dipimpin mampu terus sejahtera dalam mendepani cabaran dari semasa kesemasa, baik dari dalam dan dari luar negara.
Kata beliau, dalam soal memilih pemimpin, tanggungjawab untuk memikul sesuatu amanah itu mestilah diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
“Jatuh bangun sesebuah negara bangsa itu terletak pada pemimpinnya yang mempunyai sifat qawwiyun amin.
“Pemimpin yang bijaksana dan amanah inilah yang akan menjamin masa depan negara dan anak bangsa.
“Di Malaysia, Alhamdulillah, rakyat hidup rukun damai tanpa sengketa. Janganlah sesekali ada pemimpin yang merosakkan perpaduandan keharmonian di antara rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette