Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Seramai 256,901 graduan bidang Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilahirkan Kementerian Pendidikan Tinggi sepanjang tempoh 2018 sehingga tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pecahan graduan itu melibatkan graduan Universiti Awam (UA) atau MTUN adalah seramai 71,825 orang.

Menurut beliau, graduan Politeknik dan Kolej Komuniti adalah seramai 185,076 orang dan jumlah itu merangkumi 139,579 graduan Politeknik dan 45,497 graduan Kolej Komuniti.

“Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2020, hanya 42 peratus pelajar dan program TVET di negara kita dikendalikan dan berada di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Dari sudut bilangan program diploma bagi bidang TVET di bawah KPT, terdapat sebanyak 299 program mewakili 37 peratus daripada keseluruhan program diploma TVET yang ditawarkan oleh 12 kementerian atau agensi di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khaled memberitahu, Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dilakukan oleh KPT merekodkan kadar respons melebihi 90 peratus menunjukkan purata kebolehpasaran graduan TVET dari UA atau MTUN pada tahun 2018 sehingga 2022 adalah sebanyak 91.8 peratus.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, 69.4 peratus graduan telah bekerja dan daripada jumlah responden yang telah bekerja itu sebanyak 60.9 peratus bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian di UA atau MTUN.

Katnya, manakala baki 14.9 peratus adalah graduan yang sedang melanjutkan pengajian dan 3.1 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran serta 4.3 peratus lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan.

“Purata kebolehpasaran graduan Politeknik pada tahun 2018 sehingga 2022 pula adalah sebanyak 94.8 peratus dengan peratus graduan yang telah bekerja adalah sebanyak 76.2 peratus. Daripada jumlah responden yang telah bekerja ini, sebanyak 50 peratus bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian di Politeknik.

“Manakala baki 19.1 peratus adalah sedang melanjutkan pengajian, 0.4 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran dan 1.5 peratus lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan,” katanya.

Khaled memberitahu, bagi kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti pada tahun 2018 sehingga 2022 pula menunjukkan purata sebanyak 96.2 peratus dengan peratus graduan yang telah bekerja adalah sebanyak 74.8 peratus.

“Daripada jumlah responden yang bekerja ini, sebanyak 53.4 peratus graduan telah bekerja dalam bidang yang dipelajari di Kolej Komuniti.

“Manakala baki 22.3 peratus adalah graduan yang memilih untuk melanjutkan pengajian, 0.2 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran dan 0.4 peratus lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast