anwar ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Penghantaran bantuan ke negara bergolak bukan tugas yang mudah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ini kerana bantuan termasuk tentera, pendamai keamanan atau koridor kemanusiaan itu mesti disepakati negara jiran di negara yang bergolak itu.

Jelas beliau, jika tidak pesawat yang dihantar tidak boleh mendarat di negara berkenaan.

“Ada di Malaysia juga yang menyatakan suara bahawa kita enggan menghantarkan pasukan tentera.

“Kepimpinan tentera minta saya sampaikan adalah tidak adil untuk mana-mana kalangan dalam penyampaian mesej mereka dalam tazkirah mereka untuk menyinggung hal ini.

“Ini bukan keputusan kita boleh hantar dengan mudah. Mahu hantar tentera termasuk pendamai keamanan atau koridor kemanusiaan itu mesti disepakati negara jiran. Jika tidak pesawat kita tidak boleh darat.

“Jadi saya minta supaya ada kesefahaman, jangan kelirukan rakyat,” katanya ketika menyampaikan penerangan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Anwar menambah, kesepakatan diperlukan Malaysia sebagai suatu komuniti ummah bersama rakan-rakan dan negara jiran lain untuk memutuskan apa sahaja yang perlu.

Tegas beliau, ia penting untuk menyelamatkan rakyat Palestin daripada terus dizalimi dan jadi mangsa kekejaman rejim Israel.

“Antara perancangan segera Malaysia adalah RM10 juta diberi kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan RM1 juta disalur ke Kedutaan Malaysia di Amman dan Kaherah.

“Sewaan pesawat kargo khas dari Malaysia bagi menghantar bantuan-bantuan kemanusiaan perlu kepada rakyat Gaza melalui Mesir

“Ia akan turut dibantu oleh NGO-NGO Malaysia dalam langkah solidariti bagi membantu rakyat Palestin di Gaza,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast