Belanjawan 2024
Anwar Ibrahim. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Beberapa negara  menunjukkan minat terhadap pelaksanaan dedolarisasi dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, China antara negara paling aktif menyambut usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang AS itu.

Pada masa sama, jelas beliau, Malaysia antara negara ASEAN yang agresif menyokong inisiatif itu sedang mengadakan proses rundingan antara Vietnam dan Kemboja.

“Negara-negara memilih untuk menggunakan dolar malah kita baru sahaja dapat meterai perjanjian di ASEAN tahun ini supaya negara-negara lain seperti di Vietnam dan Kemboja, akan bersama.

“Cuma masalahnya, bila syarikat itu terlibat dalam perdagangan antarabangsa yang lain, jadi mereka sukar untuk mengambil kira kepentingan dua negara sahaja.

“Kemudian saya tidak lihat ada minat Jepun dan Hong Kong. (Kalau) kita mengikut urutan kepentingan perdagangan ialah Thailand. Indonesia telah masuk (minat), Korea tidak, India masih mengenakan sekatan penggunaan rupee luar India melainkan untuk warganegara India. Jadi rundingan itu mengambil masa.

“Tangga ke-10 pasaran eksport Malaysia adalah Vietnam dan presidennya telah pun memberi arahan supaya dipercepat proses rundingan yang berada antara dua negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang untuk memperluaskan penggunaan mata wang tempatan dengan negara-negara yang mempunyai nilai dagangan yang tinggi dengan Malaysia khususnya di peringkat ASEAN dan BRICS iaitu kumpulan ekonomi sedang pesat membangun terdiri Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

Dedolarisasi merujuk kepada tindakan meninggalkan penggunaan dolar AS sebagai mata wang antarabangsa untuk pelbagai transaksi dagangan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, Singapura tidak menunjukkan minat yang terlalu mendalam untuk menggunakan wang tempatan walaupun nilai perdagangan antara Malaysia dan negara itu adalah paling tinggi iaitu 15 peratus.

“Kenyataannya ialah bahawa dolar masih merupakan kekuatan utama dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.

Menulas lanjut, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, terdapat juga cadangan untuk melibatkan negara-negara BRICS namun belum ada usaha untuk memperluaskan dedolarisasi ke Afrika dan Latin Amerika.

“Tetapi saya percaya dengan kejayaan ASEAN, dengan China ini menjadi tanda petunjuk untuk memungkinkan (tarikan negara-negara BRICS) kerana ada keuntungan bagi memperkukuh kedua-dua mata wang tempatan,” katanya.

Menjawab cadangan penggunaan dinar, Perdana Menteri berpendapat ia sebagai satu cadangan yang baik dan tidak merugikan negara.

Anwar menyifatkan penggunaan mata wang tersebut mampu mengukuhkan kekuatan dalaman domestik ekonomi negara masing-masing termasuk negara Islam.

Jelasnya, cadangan penggunaan dinar antara topik yang bakal diketengahkan dalam pertemuan dengan ahli ekonomi Islam dan kewangan Islam yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada Disember ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast