RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat kembali kecoh pada sesi petang hari ini selepas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuki Haary didakwa menyebut ‘DAP kafir’.

Tidak berpuas hati dengan ayat itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bangkit dan berkata, kenyataan tersebut sebagai kurang sopan dan biadab dikelurkan oleh Ahli Parlimen Pas itu.

Ini kerana jelas beliau, ahli DAP juga dianggotai oleh Ahli Parlimen yang beragama Islam.

“Beliau telah mengeluarkan kenyataan, kita semua telah dengar bahawa DAP adalah kafir. Kita ada Ahli-ahli Parlimen dari Bentong, Bangi dan Bukit Bendera, yang beragama Islam.

“Saya minta Yang Berhormat kalau nak mengkafirkan kami, tidak ada masalah tetapi kata DAP kafir sedangkan Yang Berhormat Bangi, Bukit Bendera, dan Bentong merupakan ahli-ahli yang beragama Islam.

“Tolong la jangan biadab… Saya minta beliau tarik balik kenyataan itu sebab kenyataan DAP kafir ialah kurang sopan dan biadab.

“Kalau saya tak bangun mempertahankan Ahli-ahli Parlimen seperti Bentong, Bangi, Bukit Bendera, yang sama agama Islam dengan Yang Berhormat (siapa lagi nak pertahankan?),” katanya.

RSN Rayer berkata demikian ketika mencelah pada sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini.

Mendengar penjelasan RSN Rayer, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor kemudian meminta Ahmad Marzuki menarik balik kenyataan beliau.

Begitu pun, Ahmad Marzuki menjelaskan bahawa kenyataan berhubung ‘DAP Kafir’ mengambil contoh kenyataan Mufti Pahang sebelum ini yang dilapor melabelkan parti itu sebagai ‘kafir harbi’.

Jelas beliau, Pas sebenarnya tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut yang menuduh DAP sebagai ‘kafir harbi’.

“Saya dengan kepimpinan Pas pada ketika itu sampai keluar televisyen menegaskan tidak setuju dengan dakwaan Mufti Pahang (Datuk Seri Abdul Rahman Osman) itu.

“Dalam bahasa percakapan ilmu seni bahasa Arab bermaksud: “Kita sebut secara menyeluruh tetapi yang kita maksudkan hanyalah tertentu’.

“Jadi yang saya maksudkan tadi (ialah) Jelutong kafir… Ipoh timur kafir… Saya sebut umum tapi khusus kepada yang tertentu (bukan semua ahli DAP).

“Kalau itu disalah tafsir, saya tarik balik. Tetapi saya sebut DAP ‘kafir harbi’ yang didakwa oleh Mufti Pahang, kita tidak setuju kerana ia memberi kesan yang sangat besar,” jelas beliau.

Namun demikian, RSN Rayer kemudian bangkit sekali lagi mendakwa Ahmad Marzuki cuba memutar-belitkan kenyataan asal yang dibuatnya.

Berdasarkan semakan rakaman video, Ahmad Marzuki kedengaran menyebut: “Kita tak setuju orang kata DAP ini kafir harbi, walaupun memang kafir”.

Pada Jun 2016, media melaporkan Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman dilapor berkata, DAP jelas menentang pelaksanaan hukum Islam dan berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara sekular, tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast