Gambar hiasan

MANJUNG – Polis menemui beberapa serpihan dipercayai tulang manusia di atas bumbung bangunan sebuah syarikat bersebelahan sebuah bank di Sitiawan, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan dari seorang wanita kira-kira pukul 10.20 pagi berhubung penemuan serpihan tulang tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi pihaknya menemui dua rangka manusia tanpa jantina dan identiti serta sehelai bendera Perak, beberapa potongan pita pelekat berwarna hitam, cebisan kain bercorak warna-warni dan cebisan kain bendera Perak.

“Kita turut menemui cebisan baju kemeja warna putih, sarung bantal warna biru, dua bungkusan plastik warna merah disyaki berisi tengkorak manusia setiap satu dan sebilah pisau berhulu plastik hitam,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, rangka manusia itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Asisten Superintendan Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 bagi membantu siasatan. – MG Perak