Terowong Genting projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Pahang yang membina sebuah laluan kereta api baru yang akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang ketika di Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 11 APRIL 2023..

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,785 syarikat tempatan dilantik menjadi subkontraktor, konsultan, pembekal serta pemberi perkhidmatan untuk pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibullah berkata, data berkenaan diperolehi berdasarkan rekod sehingga 31 Ogos yang lalu.

“Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sentiasa memberi perhatian terhadap sebarang perubahan yang boleh mengakibatkan peningkatan kos bagi keseluruhan projek ECRL,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.

Sebagai rekod, kontraktor utama projek ECRL adalah China Communications Construction Sdn Bhd (CCC-ECRL) juga merupakan kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (Engineering, Procurement, Construction and Commissioning – EPCC).

Selain itu, menurut Hasbi, kos bagi projek dari dari Kota Bharu, Kelantan sehingga ke Pelabuhan Klang di Selangor dengan jajaran sepanjang 665km itu masih kekal RM50.7 bilion.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini kerja-kerja pembinaan jambatan yang menggunakan jentera beam launcher, pengorekan, kerja-kerja struktur dan pembinaan terowong sedang giat dijalankan di sepanjang jajaran ECRL.

“Kerja-kerja pengorekan terowong menggunakan kaedah Tunnel Boring Machine (TBM) untuk Terowong Genting pertama telah mencapai 3.10km manakala Terowong Genting kedua telah mencapai 4.29km. Jumlah panjang bagi setiap Terowong Genting ialah 16.39km dan ianya merupakan satu-satunya terowong berkembar bagi projek ECRL. Selain itu, sejumlah 25 terowong telah berjaya ditembusi setakat 25 Ogos 2023 termasuk 21 terowong di Seksyen A (Kota Bharu – Dungun) dan Seksyen
B (Dungun – Temerloh) manakala baki empatr terowong adalah di bawah Seksyen C (Temerloh – Pelabuhan Klang).

“Kerja-kerja pelancaran rasuk (beam launching) juga telah bermula di tujuh (7) lokasi iaitu Kota Bharu di negeri Kelantan, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik di Terengganu serta Kuantan dan Paya Besar di Pahang dengan sejumlah 1,100 dari 4,328 rentang jambatan (bridge span) telah siap dipasang,” jelasnya. – MalaysiaGazette