Lim Guan Eng

GEORGE TOWN – Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mendedahkan bukti berhubung dakwaan terdapat plot yang diaturkan orang luar dan dalam parti untuk menggulingkan beliau.

Guan Eng dalam satu kenyataan media berkata, ini susulan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook secara terbuka semalam telah menolak dakwaan Kon Yeow  terdapat plot yang dicatur dari dalam dan luar parti untuk menggantikan beliau.

Jelas beliau, Anthony Loke secara tegas memaklumkan tidak pernah timbul isu menggantikan Kon Yeow sebagai ketua menteri dan perkara itu sepatutnya menoktahkan ura-ura bagi menjatuhkan beliau yang dimulakan sendiri olehnya.

“Tiada sebarang bukti yang menunjukkan mana-mana pemimpin ataupun ahli parti di Pulau Pinang terlibat dalam usaha untuk menjatuhkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

“Sehingga hari ini, Kon Yeow masih lagi tidak memberikan sebarang bukti bahawa terdapat plot yang diaturkan oleh ahli-ahli DAP untuk menjatuhkan beliau.

“Malah, sekiranya beliau (Kon Yeow) mempunyai bukti, ia seharusnya diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook supaya parti dapat menangani isu ini secara dalaman dengan setegas mungkin,” katanya hari ini.

Tambah Guan Eng, dakwaan tidak berasas seperti ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dan mengalihkan fokus sebenar daripada mentadbir Kerajaan Perpaduan di negeri ini secara cekap, amanah dan telus.

Sebelum ini, Sin Chew Daily melaporkan Kon Yeow mendakwa wujud rancangan menjatuhkannya oleh orang dalam dan luar DAP. – MalaysiaGazette