Mohd Na'im Mokhtar

PUTRAJAYA – Hukum sah atau tidak perkahwinan pengarah, pelakon dan pelawak popular, Sabri Yunus dengan isterinya, Angeline Tan hanya boleh ditentukan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kata Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, pihak luar jelas hanya boleh memberikan pandangan kepada perkara tersebut kerana kuasa untuk membuat keputusan adalah di tangan mufti tersebut. 

“Yang berkuasa untuk tentukan sama ada perkahwinan itu sah atau tidak ialah badan yang berkuasa di Perlis. Yang di luar ini sekadar boleh berikan pandangan sahaja.

“Saya sebagai menteri agama sering katakan bahawa kita tertakluk kepada keputusan hukum kerana siapa yang berkuasa ialah Mufti yang dilantik.

“Seperti Wilayah Persekutuan adalah YDPA, di negeri adalah Sultan Negeri-negeri,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Anugerah Khidmat Cemerlang, Yayasan Dakwah Ismaliah Malaysia (YADIM), hari ini.

Seramai 25 kakitangan YADIM diraikan dengan dianugerahkan tersebut bagi tahun 2022.

Mohd Na’im mengulas mengenai  status perkahwinan Sabri Yunus dan isterinya, Angeline Tan yang didakwa tidak sah.

Isu ini tercetus apabila seorang pendakwah dalam satu ceramahnya baru-baru ini mendakwa pasangan yang dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali Dr Maza itu tidak memenuhi ucapan ijab dan qabul yang sepatutnya.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai persoalan mengenai perkahwinan Sabri Yunus dan isterinya, Angeline Tan.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan mengeluarkan kenyataan, ini persoalan hukum dan sudah tentu dalam konteks di Malaysia ini bukan sahaja persoalan hukum dari panfanfab mazhab tetapi juga melibatkan peraturan dan keadah yang telah ditentukan.

“Yang lebih lanjut kita tengok macam mana Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, itu pun di peringkat Wilayah Persekutuan sahaja kerana perkahwinan tersebut dibuat di Perlis.

“Maknanya yang berkuasa untuk tentukan sama ada perkahwinan itu sah atau tidak ialah badan yang berkuasa di Perlis,” demikian kata Mohd Na’im.

Dalam pada itu, masyarakat kata Mohd Na’im perlu faham akan keperluan hukum dan peraturan-peraturan dalam perkahwinan Islam.

Malah katanya, kaedah sesebuah perkahwinan juga perlu diperjelaskan bagi mendidik masyarakat.

“Dalam bab perkahwinan ini juga, kita dari sudut hukum yang mana nanti akan diperjelaskan dalam kaedah perkahwinan yang ada di peringkat negeri-negeri termasuk Perlis macam mana serah dia orang yang mengahwinkan dan orang yang menerima perkahwinan.

“Adakah mungkin cukup sekadar ‘aku terima seperti yang ditawarkan kepada ku’ macam Inggeris kata ‘I do’.

“Jadi dia kena berlaku kepada peraturan-peraturan, sebab itu saya tekankan di sini peri pentingnya kita faham hukum dan juga peraturan,” katanya lagi.

Semalam, Sabri menganggap tuduhan seorang pendakwah yang mendakwa dia dan isterinya, Angeline Tan sudah berzina kerana pernikahan yang berlangsung Sabtu lalu tidak sah adalah sangat berat.

Sabri menerusi satu catatan di Facebook turut meluahkan rasa sedih apabila lafaz qabul yang diungkapkan turut menjadi perdebatan pendakwah terbabit sekali gus mengundang persepsi negatif.

Terdahulu pernikahan Sabri dan Angeline Tan pada 14 Oktober lalu menjadi buah mulut dan viral kerana persahabatan mereka sebagai anak seni yang berakhir di jenjang pelamin setelah kedua-duanya bergelar duda dan ibu tunggal buat satu tempoh masa yang panjang. – MalaysiaGazette