Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka kereta melibatkan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Tanjung Lumpur.

KUANTAN – Rakaman kamera papan pemuka kereta (dashboard) mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Tanjung Lumpur di sini yang tular hari ini bukan kes langgar lari.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan pemandu kereta terbabit telah membuat laporan polis pukulĀ  2.51 petang tadi.

Beliau berkata, kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah bandar Kuantan menghala ke Sungai Soi dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Nmax dari arah sama.

“Ketika sampai di lokasi, kereta yang memandu di lorong kanan didatangi motosikal itu dari bahagian kiri yang cuba mengubah lorong ke kanan lalu bergesel dan mengakibatkan kemalangan itu,” katanya.

ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Tambah Wan Zahari, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang berusia 40 tahun itu yang tidak memastikan keadaan selamat terlebih dahulu sebelum mahu membuat pusingan U.

Akibat kemalangan tersebut, lelaki itu cedera di bahu dan kaki kanan dan kini dirawat di Zon Kuning Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) manakala pemandu kereta berusia 18 tahun tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana lalai mengawal pergerakan kenderaan dengan baik.

Sebelum itu hari ini tular klip video rakaman video sebuah kereta didakwa melanggar lari sebuah motosikal ditunggang penunggang perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan (p-hailing) di Sungai Deraka, Tanjung Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast