Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2023 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Markas SMART, Puchong. Foto MOHD ADZLAN, 17 OKTOBER 2023.

PUCHONG – Kerajaan bercadang untuk menaikkan bayaran elaun kesusahan kepada 141 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu untuk menghargai pasukan Smart yang bertungkus-lumus setiap kali berlaku bencana.

“Untuk itu adalah muhasabah jika elaun mereka, dipanggil elaun kesusahan dapat dipertingkatkan.

“Ini untuk memberikan motivasi dan menggalakkan hanya mereka yang terbaik daripada pasukan mereka dapat dipilih ke Smart,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2023 di Markas Smart, Pulau Meranti, di sini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Selain itu, Ahmad Zahid juga berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat mencadangkan agar keanggotaan dalam pasukan Smart ditambah.

“Kini pasukan Smart dianggotai seramai 141 orang melibatkan tiga agensi utama.

“Kita mencadangkan keterlibatan sekurang-kurangnya tujuh agensi yang lain.

“Ini termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia hendaklah dimobilisasikan dalam pasukan Smart ini,” katanya.

Katanya lagi, keperluan untuk meningkatkan kadar bayar elaun dan menambah kekuatan pasukan ini kerana Smart diiktiraf antara pasukan mencari dan menyelamat yang terbaik di dunia.

“Baru-baru ini mereka pergi ke Turkiye apabila berlaku gempa bumi dan ianya mendapat pengiktirafan daripada Presiden Turkiye sendiri, Recep Tayyib Erdoğan.

“Mereka juga dapat pengiktirafan daripada beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Apabila berlaku tanah runtuh, mereka sampai dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

-TAMAT-

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast