logo mahlamah

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan seorang mangsa buli yang mengalami kecacatan kekal dibayar ganti rugi lebih RM600,000.

Perbuatan itu dilakukan sembilan induvidu termasuk lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) di Terengganu, lapan tahun lepas.

Lima bekas pelajar senior yang ketika ini berusia 25 tahun, empat pihak lain iaitu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Sulaiman Ngarif; bekas Pengetua, Meriam Jusoh; Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kerajaan Malaysia masing-masing selaku defendan keenam hingga kesembilan.

Panel tiga hakim iaitu Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara memutuskan sembilan individu terbabit bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.

Mahkamah yang membuat keputusan itu melalui aplikasi Zoom dengan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 2019 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Mei 2021.

Pada 29 September 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan sembilan pihak membayar tuntutan RM616,634.20 kepada plaintif yang menjadi mangsa buli.

Mangsa didakwa telah dipukul, ditendang dan ditampar oleh pelajar senior dalam kejadian buli itu sehingga menyebabkan hilang pendengaran sebelah kanan kerana gegendang telinga pecah.

Ia juga mengakibatkan tidak boleh melakukan aktiviti air seumur hidup selain mengalami beberapa kecederaan lain. -MalaysiaGazette