Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi dan pendapatan dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan berkembang pada tahun berdasarkan pengumuman Belanjawan 2024.

Dewan Perdagangan & Industri ASEAN (DPIA) menjangka perkembangan itu ekoran belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu memberi perhatian kepada golongan PKS yang mewakili sebahagian besar perniagaan di negara ini.

Presidennya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata,  bagi merancakkan aktiviti dagang PKS, RM600 juta daripada RM8 bilion dana pinjaman di bawah Bank Negara Malaysia akan diperuntuk untuk menyokong syarikat PKS.

‘’RM600 juta ini dikhususkan antaranya untuk membantu usahawan mikro dan usahawan berpendapatan rendah. DPIA melihat insiatif di bawah hala tuju Malaysia Madani mampu menggerak aktiviti dagang PKS pada tahun depan dengan pertumbuhan pendapatan lebih baik.

“Kita menyokong segala usaha yang dilakukan Perdana Menteri dalam menstruktur semula internal ekonomi PKS ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Sohaimi,  bagi menyokong perkara berkenaan kerajaan menyediakan RM1.4 bilion bagi pinjaman mikro BSN.

Katanya, pinjaman itu untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi peruntukan khas sebanyak RM720 juta bagi menggalakkan golongan wanita dan anak muda menceburi bidang perniagaan.

“Usaha ini akan memperkasa perniagaan golongan wanita dan anak muda yang memerlukan suntikan modal dalam perniagaan masing-masing,” kata Sohaimi.

Menurut beliau, usaha kerajaan secara holistik turut memperuntukan RM330 juta kemudahan pembiayaan TEKUN kepada peniaga kecil, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“RM30 juta daripadanya peruntukan ini turut menyokong membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India. Dengan pelbagai sasaran golongan perniagan ini diharap pada tahun depan daya saing ini membantu meningkat pendapatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette