Najib Razak
Najib Razak bergambar kenangan dengan sebahagian penjawat awam yang hadir pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya PICC pada 4 April 2018

KUALA LUMPUR – Penjawat awam dikatakan terlepas kenaikan gaji sebanyak dua kali dalam tempoh tujuh tahun selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditumbangkan.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, di bawah pentadbiran Najib, kenaikan gaji penjawat awam telah dilulus dan dilaksanakan pada 2013.

Menurut beliau, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan mengumumkan satu lagi kenaikan gaji dalam Belanjawan 2018 namun ia dibatalkan oleh pentadbiran Perdana Menteri berikutnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sian See menambah, mengikut perancangan Najib, kerajaan akan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam setiap lima tahun.

“Akibat Najib tumbang, penjawat awam sebenarnya telah terlepas dua kali kenaikan gaji dalam tempoh tujuh tahun dari 2018 hingga 2025 (sekiranya dibuat).

“Agaknya setiap penjawat awam telah terlepas berapa banyak gaji tambahan setiap bulan dalam tempoh tujuh tahun ini?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam disiapkan sekitar pertengahan tahun hadapan untuk memastikan struktur gaji baharu penjawat awam dapat diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Sian See menempelak sikap pihak tertentu yang dahulu mengecam Najib dan mendakwa Malaysia sudah muflis apabila hutang negara mencecah angka RM686.8 bilion pada penghujung 2017.

Beliau memberitahu, nisbah hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika itu adalah pada kadar sederhana 50 peratus.

Sebaliknya, Sian See berkata, hutang negara melonjak sebanyak RM550 bilion dalam tempoh tujuh tahun sejak Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

“Jumlah hutang naik ke RM1.263 bilion dengan nisbah hutang berbanding KDNK lagi tinggi pada 64 peratus. Negara tak muflis?” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Penterjemahan dan maklumat pencerahan ini seharusnya ahli PKR dan DAP serta UMNO harus tahu “skema ANWAR IBRAHIM” dalam tari menarinya.
    Rakyat harus CERDIK dan siapsiaga dalam concert ANWAR IBRAHIM.

Comments are closed.