KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Perdana Menteri menjadi suara paling lantang menyelar dan mengutuk keras tindakan zionis membedil bumi Gaza serta membunuh rakyat Palestin.
Pengerusi Biro Undang-Undang, Anti Rasuah dan Integriti Putra, Zarina Zainal Abidin menegaskan, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendirian tegas beliau dengan berada di barisan hadapan bagi mewakili negara dan rakyat Malaysia.
Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali sebelum ini pernah mendesak agar kerajaan mengadakan perhimpunan skala besar mencecah lebih sejuta orang termasuk semua ketua dan ahli parti politik bersama rakyat sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang bermati-matian berjuang menyelamatkan nyawa dan bumi mereka.
“Inilah masanya kita semua merapatkan saf demi satu matlamat yang sama dengan menolak ke tepi segala bentuk perbezaan ideologi politik mahu pun ketidaksamaan dari segi sosial.
“Apa lebih penting pada tika dan saat ini ialah semua ketua dari blok kerajaan, pembangkang atau kuasa ketiga seperti Putra dan NGO senada menunjukkan empati tidak berbelah bahagi atas dasar prinsip kemanusiaan untuk mereka di bumi Gaza.
“Perhimpunan Solidariti Rakyat Malaysia boleh diadakan di mana-mana tempat terbuka yang mampu memuatkan kapasiti untuk suatu jumlah besar seperti di Dataran Merdeka, Padang Merbok serta kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Zarina lagi, sudah sampai masanya, Anwar berdiri di barisan paling hadapan bagi mewakili rakyat negara ini walaupun mungkin inilah selemah-lemah tindakan yang boleh dibuat bagi membantu pejuang di Palestin.
“Ayuh, Perdana Menteri! Gunakan kuasa kepimpinan anda untuk bersolidariti bersama atas dasar kita semua adalah manusia,” katanya. – MalaysiaGazette