KUALA LUMPUR – Analisa forensik penuh mengenai tragedi tanah runtuh di Batang Kali Disember tahun lalu disebabkan kegagalan cerun berikutan hujan lebat berterusan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, laporan berkenaan turut menolak faktor manusia menjadi faktor kepada keruntuhan cerun berkenaan.
“Hasil analisis forensik mendapati kejadian hujan (rainfall event) merupakan faktor pencetus utama akibat daripada kombinasi jumlah hujan major (major rainfall kumulatif) bagi tempoh lima hari dan hujan anteseden (anteseden rainfall) kumulatif 30 hari sebelum runtuhan berlaku yang mana masing-masing 118.6mm dan 444.8mm.
“Hujan yang lebat ini telah menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan meliputi Kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah sehingga menyebabkan kerosakkan harta bendan dan kehilangan nyawa.
“Siasatan tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh ini,” katanya dalam kenyataan tiga muka surat hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, laporan penuh yang disediakan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) ini boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma, https://www.nadma.gov.my, mulai 10.00 pagi 18 Oktober 2023.
Tanah runtuh berlaku pada awal pagi 16 Disember tahun lalu di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali di Hulu Kelang, Selangor, mengorbankan 31 orang termasuk 13 kanak-kanak dan mencederakan 61 yang lain.
Pada Januari lalu, media melaporkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan awal tragedi tanah runtuh sudah dibentangkan ke Kabinet. – MalaysiaGazette