Wilfred (bertopi) menyampaikan bantuan kewangan kepada salah seorang pelajar di Tuaran sambil disaksikan Philip Benedict (empat dari kanan).

TUARAN – Selepas Pontian, Johor, Yayasan Bank Rakyat (YBR) terbang ke Tuaran, Sabah untuk menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar dari keluarga B40 di kawasan itu.

Seramai 105 pelajar menerima sumbangan kewangan bagi meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran dengan baik.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau Ketika bersama YBR dalam majlis itu berkata, bantuan berkenaan diberikan kepada mereka yang layak iaitu pelajar asnaf dan B40.

Kata beliau, program YBR itu diadakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran dan Kelab Masyarakat Prihatin Sabah kepada pelajar yang tidak berkemampuan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Bantuan ini bagi membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran semester dengan membeli peralatan belajar yang diperlukan.

“Secara peribadi, saya amat terharu dan berterima kasih atas bantuan ini untuk golongan kurang bernasib baik khususnya kepada pelajar di Tuaran.

“Diharapkan mereka mendapatkan meneruskan pembelajaran dengan lebih baik dan meningkatkan sosio ekonomi mereka serta keluarga,” katanya pada majlis perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR di Dewan Jubli Emas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang dan Ketua Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin.

Wilfred berharap bantuan seumpama itu diteruskan kerana masih ramai memerlukan sebagai persediaan untuk memulakan atau menyambung pembelajaran.

Sementara itu, Philip Benedict dalam ucapannya menjelaskan, bantuan tunai itu adalah inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat akibat kemelesetan ekonomi untuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Kita mahu melihat anak-anak dapat akses pendidikan berkualiti, selain membolehkan mereka meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi dan menjadi insan harapan kepada negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang pelajar, Nur Adila Awang Tahir @ Julailan berkata, bantuan itu sangat bermakna untuknya memulakan semester yang baru bermula dengan membeli kelengkapan pembelajaran diperlukan tanpa menyusahkan keluarga lagi.

Rakannya, Aliyah Allisyah Azmin, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut bergembira dengan bantuan itu.

Katanya, ia sedikit sebanyak dapat digunakan untuk membeli buku rujukan bagi subjek diambilnya untuk sesi pembelajaran semester ini. – MalaysiaGazette