Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan antara barang rampasan hasil kejayaan tangkapan dan rampasan oleh bahagian siasatan jenayah narkotik sekitar Lembah Klang di IPD Gombak, Selangor. Foto QURRATU AINI, 18 OKTOBER 2023.

GOMBAK – Dua lelaki ditahan dalam serbuan dilakukan polis kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bernilai RM 3.1juta di Batu Caves, di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan tersebut membawa kepada rampasan dadah jenis methamphetamin seberat 93.8 kilogram (kg).

Beliau berkata, dua individu yang ditahan merupakan seorang lelaki tempatan dan warga Indonesia masing-masing berusia 34 dan 42 tahun bertindak sebagai transporter bagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

“Serbuan ini dilakukan hasil maklumat orang awam yang melihat kegiatan mencurigakan ahli sindiket berkenaan. Sindiket ini juga dipercayai bergerak aktif di Lembah Klang sejak awal Januari lalu

“Kita percaya dadah yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta ini turut diambil dari negara jiran di utara tanah air dan ia mungkin akan diseludup keluar untuk dipasarkan ke Indonesia,” katanya padasidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan antara barang rampasan hasil kejayaan tangkapan dan rampasan oleh bahagian siasatan jenayah narkotik sekitar Lembah Klang di IPD Gombak, Selangor. Foto QURRATU AINI, 18 OKTOBER 2023.

Tambah Hussein, serbuan yang dilakukan pada jam 9.35 malam di sebuah kondominium itu merupakan hasil maklumat awam yang mencurigai tindakan lelaki tempatan berkenaan.

Susulan tangkapan suspek tempatan yang bekerja sebagai mekanik kenderaan membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis Nissan Almera yang diparkir di kawasan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah dalam bungkusan plastik lut sinar yang diletakan di dalam empat beg kanvas dan satu guni ditempat duduk belakang dan bonet.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan kepada 187,648 orang dengan mengambil kira harian 0.5 gram,” jelasnya.

Beliau berkata, penahanan lelaki tempatan itu membawa pihak polis ke sebuah kondominium berhampiran dan berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang tidak bekerja.

Semakan ke atas lelaki tempatan mendapati, dia mempunyai tiga rekod kes lampau membabitkan jenayah dan dadah, ujarnya.

“Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas tiga buah kenderaan dan wang tunai sebanyak RM500, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM3.22 juta.

“Kedua-dua suspek itu direman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – MalaysiaGazette