GEORGE TOWN – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya menerima maklumat atau panggilan berhubung ancaman bom di negeri ini.

Sebaliknya, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin meminta melaporkan maklumat itu kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut dibuat.

Jelas beliau, ia bagi mengelakkan timbulnya kegusaran dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui kesahihan maklumat itu.

“Paling utama jangan panik selepas tahu dakwaan ancaman keselamatan, ini kerana kita akan hantar pasukan bagi lakukan pemeriksaan untuk mengesahkan panggilan berkenaan sama ada benar atau tidak.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menularkan maklumat itu di TikTok atau media sosial.

Kok Chin (kiri) menyampaikan sijil selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Jika ada apa-apa boleh rujuk polis dan kita akan ambil tindakan mengikut prosedur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, hari ini.

Kok Chin berkata demikian mengulas susulan kejadian panggilan ancaman bom yang berlaku di sebuah pusat beli belah dan hotel di Johor Bahru pada Sabtu lalu, hingga mendatangkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Dalam kejadian itu, ribuan pengunjung termasuk pekerja serta kakitangan pusat beli belah dan hotel berkenaan diarah mengosongkan bangunan sejurus menerima ancaman bom.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan panggilan ancaman bom berkenaan dibuat seorang lelaki warga asing.

Pemanggil mengaku dari luar negara selain memberi amaran supaya tidak menyokong Palestin dalam pertempuran terbaru dengan tentera Israel. – MalaysiaGazette